Di sinilah tempat yang paling terbaik untuk mula-mula membentuk jiwa-jiwa kecil ini menjadi penghuni Rumah ALLAH suatu hari nanti. Memang tidak dapat dinafikan, ibubapa/atuk dan nenek yang akan mencorakkan sehelai kain putih yang telah diamanahkan oleh ALLAH terhadap kurnia yang telah diberikan olehNYA. Jika cantik lukisan dan corak yang dinukilkan, maka hasilnya lumayan, tapi jika comot hasil cantingannya maka tidak akan ada harga yang boleh dilabelkan suatu hari nanti disisi ALLAH.
Aku mencoret tatapan ini adalah kerana aku juga bermain dan bermula disini. Memang lumrah dunia kanak-kanak, semua tempat menjadi taman permainan dek imaginisasi yang tinggi dan juga semua benda boleh menjadi alat permainan. Aku masih lagi terbayang dan rasa manis yang singgah di minda ini bila aku dibawa oleh atuk dan nenekku ke masjid di sebuah kampung dalam daerah Bachok. Hampir tiap-tiap malam aku dibawa ke masjid semasa aku berada di kampung. Bila tiba zaman persekolahan, cuti dihabiskan dikampung dan rutinnya masih tetap sama, tiap-tiap malam taman permainan ku di masjid. Disitukah tempat aku berlari bersama teman yang lain, menangkap belalang, mengejar serangga dan main sembunyi-sembunyi.
Abah ku juga selalu membawa ku solat jumaat bersamanya dan aku berada betul-betul di dalam masjid, memang aku tidak boleh duduk diam, aku mula keluar masuk, keluar masuk dan lalu dihadapan orang ramai yang asyik mendengar khutbah, yang marah pun ada dengan kelakuan aku tadi hinggakan aku masih ingat sampai hari ini bagaimana seorang pakcik memarahi aku di pintu masjid. Tapi aku masih budak-budak lagi, aku bukan paham sangat orang marah yang penting aktiviti bermain perlu diterukan.
Masuk zaman mengaji Al-Quran, aku mengaji di Masjid Besar Al-Salam Pengkalan Chepa. Kawan-kawan semua belajar di surau kuarters penjara, tapi aku dan beberapa orang rakan lagi belajar di masjid. Masjid Al-Salam memang luas, dapat menampung penduduk kawasan Cabang tiga, Taman Kurnia Jaya, Padang Tembak, Kg. Landak dan beberapa kawasan lain. Memang hari-hari aku berlari disitu, memanjat sampai ke kubah masjid dan main lipat-lipat (samsord dan dll). Indahnya saat itu.
Tapi disitulah bermula kaki ku melangkah ke masjid walaupun dewasa ini agak berat dan payah dek gangguan nafsu. Tapi masih lagi berjalan ke masjid. Daripada kisah silam yang manis itu dapat membantu aku menjana minda sedar bahawa masjid adalah tempat paling tenang kerana ia adalah Rumah ALLAH. Kebanyakan orang hebat-hebat adalah orang yang hatinya berada di masjid. Moga-moga ku dapat tergolong dalam kalangan orang yang cintakan masjid. semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar untuk mendidik anak-anak dalam mebentuk generasi umat Muhammad SAW kelas pertama dan dapat memotivasikan diri ini suapaya lebih dekat dengan masjid.
" Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya"